Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Atlet negara dalam misi harumkan nama Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Atlet-atlet negara yang beraksi di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31 akan menonjolkan persembahan yang terbaik serta akan memberikan saingan hebat kepada peserta-peserta lain dalam sukan yang disertai mereka.

    “Kita menaruh harapan yang tinggi kepada atlet-atlet negara kerana atlet-atlet yang terpilih telah menjalani penilaian-penilaian yang tertentu melalui Jawatankuasa Penilaian Atlet Kebangsaan.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Chef de Mission, Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, dalam temu bual bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

    Beliau percaya bahawa atlet-atlet yang terpilih itu, boleh memberikan saingan kepada atlet-atlet kontinjen sukan lain di Sukan SEA itu nanti.

    Jelasnya lagi, atlet-atlet negara yang bakal beraksi juga menjalani latihan pusat di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas selama tiga bulan.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, Pengiran Mohammad Amirrizal serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan bergambar ramai bersama kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memberikan kata-kata semangat kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31.
    Haji Mohamad Rosfazilah (dua, kanan) yang mengetuai kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31 yang berlepas ke Hanoi, Vietnam.

    Haji Mohamad Rosfazilah yang juga pemangku timbalan pengarah belia dan sukan mengetuai kontinjen negara yang akan menyertai Sukan SEA ke-31 Edisi 2021 yang dijadualkan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 22 Mei.

    Kontinjen negara yang bertolak ke Hanoi, Vietnam, hari ini, dianggotai seramai tujuh orang terdiri daripada chef de mission, urus setia serta lima orang terdiri daripada jurulatih dan atlet sukan pencak silat.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar serta memberikan kata-kata semangat kepada para atlet ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, KKBS. Kontinjen Negara Brunei Darussalam merangkumi seramai 39 orang iaitu 23 orang atlet dan 16 orang pegawai termasuk chef de mission, urus setia, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai perubatan.

    Bagi edisi Sukan SEA kali ini, atlet dan pasukan negara akan menyertai empat acara sukan iaitu e-sukan, karate do, pencak silat dan wusyu. Rombongan seterusnya akan bertolak ke Hanoi, Vietnam pada 10 Mei nanti.

    Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada 1977 di mana hingga ke hari ini, negara telah memperoleh 14 pingat emas, 56 pingat perak dan 184 pingat gangsa secara keseluruhan.

    Pencapaian terbaik negara ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa. Kali terakhir negara menyertai Sukan SEA ialah pada 2019 di Republik Filipina dengan memperoleh dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...