Atlet negara sahut cabaran, kumpul sumbangan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Atlet-atlet sukan Negara Brunei Darussalam telah membuat kemunculan dalam Goals for Education – kempen video untuk sumbangan Your Goals Matters for their Goals yang dilancarkan oleh Dynamik Technologies dan Progresif Cellular Sdn Bhd baru-baru ini.

Pelari pecut Olimpik wanita pertama Brunei, Dayang Maziah binti Mahusin, atlet sukan boling kebangsaan, Awang Faiz bin Dzuhairy, pemain sukan bola jaring negara, Dayang Nur Hafizah binti Haji Abdul Sidek dan pemenang Piala Malaysia, Awang Rosanan Samak, menggariskan semangat untuk mencapai matlamat menerusi sukan.

Pemain bola jaring kebangsaan, Dayangku Nur Khalisha binti Pengiran Haji Abdul Rahman turut membuat kemunculan dalam video tersebut.

Pengasas kepada Shooting Stars Brunei dan Omni Sports International Ken Han, Ken Han, yang telah membuat sumbangan untuk perkembangan sukan bola keranjang di negara ini, turut memainkan peranan dalam kempen video yang dilancarkan.

Video tersebut memaparkan beberapa atlet yang mewakili acara perseorangan dan sukan berpasukan, yang menunjukkan aksi pelari, Dayang Maziah membuat larian melepasi halangan, sementara Awang Faiz, yang menduduki tempat ke-7 dalam kejohanan perseorangan lelaki dalam Sukan SEA ke-30 di Manila Disember lalu, melakukan balingan bola boling.

Dayang Maziah, yang pernah bertanding dalam Sukan Olimpik di London pada 2012, berkata, “Apabila kes COVID-19 diisytiharkan sebagai ancaman di seluruh dunia, para pelajar terpaksa meneruskan pembelajaran mereka secara dalam talian dari rumah. Tetapi tidak semua pelajar mempunyai akses kepada teknologi.”

Goals for Education bermatlamat untuk mengumpul dana untuk menyokong inisiatif pembelajaran secara dalam talian dan membantu pelajar yang memerlukan peranti ICT di seluruh negara.

Sumbangan yang diterima akan dibelanjakan untuk membeli keperluan seperti tablet, komputer dan komputer riba.

Untuk menyertai Cabaran 555, orang ramai boleh merakam sebuah video diri mereka sendiri yang telah mencapai lima matlamat mereka dengan lebih kreatif, sumbangan sebanyak $5 bagi tujuan ini boleh disumbangkan melalui Progresif Pay dan BIBD Online, dan memuat naik klip video mereka menerusi akaun Instagram masing-masing serta mencalonkan lima orang kenalan untuk menyahut cabaran tersebut.

Komuniti sukan pool tidak ketinggalan dalam menyertai cabaran itu, dengan atlet sukan biliard, Haji Mohd Haikal Qarin bin Haji Hairon Hamizin telah mengambil bahagian dalam Cabaran 555.

Antara yang mengambil bahagian dalam cabaran itu termasuk atlet renang, Rynhardt Steyn.

Inisiatif ini telah mencetuskan kreativiti di kalangan orang awam termasuk menyasarkan bola ping pong ke dalam cawan yang kosong.

Pembelajaran secara dalam talian telah dilaksanakan ke atas semua institusi pendidikan di negara ini oleh Kementerian Pendidikan sejak awal April ketika penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.