Tuesday, August 16, 2022
23.6 C
Brunei

Atlet negara terima ganjaran SPKS

-

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) Bagi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31, Vietnam 2021 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 2, Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini dan diikuti dengan kata alu-aluan daripada Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi majlis. 

Majlis disusuli dengan penyampaian ganjaran kemenangan kepada atlet, jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Lima orang atlet, dua orang jurulatih, seorang penolong jurulatih dan dua daripada persatuan sukan kebangsaan telah menerima Ganjaran Kemenangan SPKS. 

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama para atlet, jurulatih dan wakil-wakil persatuan semasa sesi bergambar ramai pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyampaikan Ganjaran Kemenangan SPKS kepada salah seorang atlet pada majlis tersebut di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Penerima-penerima berkenaan adalah atlet-atlet daripada sukan wusyu dan pencak silat yang telah berjaya meraih pingat di Sukan SEA ke-31, Vietnam 2021 pada 12 hingga 23 Mei lalu di Hanoi, Vietnam.

Atlet-atlet yang telah menerima Ganjaran Kemenangan SPKS ialah Awang Mohd Adi Salihin bin Roslan, Awang Muhd Ali Saifullah Abdullah bin Haji Mohd Suhaimi, Dayang Anisah Najihah binti Abdullah, Dayang Norleyermah binti Haji Raya, dan Dayang Nur Wasiqah Aziemah binti Rosihan.

Jumlah keseluruhan Ganjaran Kemenangan SPKS yang diterima bagi kejohanan Sukan SEA tersebut adalah sebanyak $33,200.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa SPKS, jawatankuasa pemilihan dan penilaian atlet kebangsaan dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa.

Ganjaran kemenangan tersebut merupakan komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menghargai jasa, pengorbanan dan usaha para atlet, jurulatih dan persatuan-persatuan sekali gus menjadi galakan dan motivasi kepada mereka bagi meningkatkan lagi mutu dan pencapaian mereka ke arah yang lebih cemerlang sepertimana yang terkandung di dalam Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan sejak tahun 1991 untuk kemudahan insentif kepada atlet-atlet yang cemerlang.

Selain itu, ganjaran kemenangan tersebut juga bertujuan untuk memberikan dorongan kepada para atlet agar mereka sentiasa terus memberikan komitmen mereka kepada negara melalui pencapaian meraih pingat di kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Majlis itu diadakan adalah untuk memberikan galakkan kepada para atlet bagi mencapai satu-satu tahap kejayaan dalam menjalani latihan secara bersungguh-sungguh agar dapat mengekalkan atau men-capai prestasi yang lebih tinggi di sukan serantau dan antarabangsa di samping menyampaikan ganjaran berupa wang tunai kepada para atlet yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan masing-masing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Skim tersebut juga diberikan kepada jurulatih-jurulatih sukan kerana penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan dalam latihan. Semua ini adalah mengikut sepertimana yang termaktub dalam Dasar Sukan Negara.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -