Atlet Olimpik hilang di Tokyo

TOKYO, 16 JULAI – Seorang atlet angkat berat Uganda hilang dari ‘radar’ di kem latihan Olimpik di sini, seminggu sebelum temasya membuka tirainya, kata pegawai Olimpik Tokyo.

Pihak berkuasa sedang mencari Julius Ssekitoleko, 20, yang gagal hadir dalam ujian COVID-19 dan dikesan tidak berada dalam bilik hotel.

“Salah seorang ahli delegasi gagal dikesan dan tidak dapat dihubungi,” kata pihak berkuasa bandar Izumisano dalam satu kenyataan.

“Bandar ini sudah melakukan pelbagai usaha untuk mencari individu berkenaan. Kami sudah membuat laporan kepada pihak polis.”

Kenyataan itu turut memaklumkan, kali terakhir Ssekitoleko dilihat adalah pada waktu tengah malam di dalam hotel oleh rakan atlet.

Orang ramai mengambil gambar jam penghitung detik acara kemuncak Olimpik di Tokyo, kelmarin. – AFP

Atlet berkenaan gagal menghadiri ujian PCR selepas itu dan kegusaran bertambah apabila dia tidak ditemui dalam bilik hotel.

Delegasi Uganda tiba di Jepun pada bulan lalu dan menjalani kem latihan pra temasya di Izumisano yang terletak di wilayah Osaka.

Namun seorang jurulatih didapati positif pada waktu ketibaan dan ahli delegasi yang lain turut diperintahkan menjalani kuarantin sebelum salah seorang daripada mereka kemudiannya didapati positif.

Kes berkaitan COVID-19 di Tokyo menunjukkan peningkatan dan peraturan ketat dilakukan bagi mengekang penularan. Atlet dan peserta Olimpik perlu mengikuti peraturan ketat termasuk menjalani ujian COVID-19 secara kerap selain pergerakan mereka turut terbatas.

Temasya dijadual membuka tirainya dalam tempoh seminggu lagi, dan penonton turut dilarang hadir ke setiap acara dipertandingkan di Tokyo dan arena berdekatan venue. – AFP