Atlet Olimpik Tokyo 2020 dilarang gigit pingat

TOKYO – Kebiasaan menggigit pingat pada acara sukan sudah menjadi kelaziman dalam kalangan atlet. Pada zaman dahulu tabiat menggigit pingat adalah untuk memastikan ia tidak diperbuat daripada logam tiruan.

Berlainan situasi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, pihak penganjur meminta para atlet untuk tidak menggigit medal dimenangi. Ini disebabkan semua pingat pada kejohanan kali ini diperbuat menggunakan bahan elektronik yang dikitar semula seperti telefon bimbit.

Jawatankuasa penganjur memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran di laman sosial Twitter.

“Kami ingin mengesahkan secara rasmi bahawa pingat #Tokyo2020 tidak boleh digigit! Pingat kami diperbuat daripada bahan yang dikitar semula seperti alat elektronik sumbangan masyarakat Jepun. Jadi, tidak perlu menggigitnya…tetapi kami tahu anda akan tetap melakukannya (menggigit pingat),” katanya.

Sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 pihak penganjur mengambil inisiatif mempromosikan kelestarian alam dengan menghasilkan medal daripada bahan kitar semula. Kira-kira 78,985 tan peranti atau 6,21 juta telefon terpakai digunakan untuk menghasilkan pelbagai pingat.

Telefon yang telah dileraikan menghasilkan 32kg emas, 3,500kg perak dan 2,200kg gangsa lalu dihasilkan menjadi 5,000 pingat.

Selain pingat, rangka katil dan tilam di asrama atlet juga berasaskan bahan kitar semula.

Sementara itu, memetik laporan Forbes kali terakhir sukan Olimpik memberikan pingat emas tulen 100 peratus adalah pada tahun 2012, namun ia bersaiz kecil sahaja. Pada Sukan Olimpik Rio 2016, setiap pingat emas hanya mengandungi enam gram emas bersamaan 1.2 peratus daripada berat keseluruhan medal tersebut. – Agensi

Rangka katil dan tilam di asrama atlet Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga berasaskan bahan kitar semula. – Agensi
Semua pingat pada kejohanan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 diperbuat menggunakan bahan elektronik yang dikitar semula seperti telefon bimbit. – Agensi