Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para ASEAN ke-11 2022 di Solo, Indonesia hari ini melakar detik-detik manis buat negara apabila berjaya membolot satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi sukan olahraga.
Pingat emas diperoleh oleh Hirdan Haji Abdul Kadir menerusi acara lontar peluru F56. Beliau juga meraih pingat perak menerusi acara rejam lembing F56.
Sehubungan itu, satu majlis penyampaian pingat bagi acara lontar peluru F56 Lelaki yang diungguli oleh atlet negara telah berlangsung petang tadi.
Sementara itu, dua pingat gangsa masing-masing dimenangi Shari Haji Jummat menerusi acara rejam lembing F54 – F55 dan Zainul Wardi Haji Tarip menerusi acara lempar cakera F35-F37.
Pada Sukan Para ASEAN kali ini, Negara Brunei Darussalam menyertai tiga acara sukan iaitu olahraga, badminton dan renang.
Negara Brunei Darussalam mula menyertai Sukan Para ASEAN pada tahun 2001 di mana pencapaian terbaik negara adalah pada tahun 2009 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan meraih sembilan pingat emas, lima pingat perak dan tujuh pingat gangsa.
Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai Sukan Para ASEAN adalah pada tahun 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan memperoleh dua pingat emas, enam pingat perak dan enam pingat gangsa.