SHAH ALAM, 29 Jan – Atlet Para Malaysia, Mohd Najib Turano menjadi atlet paling banyak menerima insentif kemenangan daripada kerajaan negeri Selangor dalam satu majlis khas yang diadakan di sini, hari ini.
Atlet berbasikal berkenaan menerima wang insentif kemenangan berjumlah RM19,000 berikutan kecemerlangannya menggondol tiga pingat perak dan satu gangsa pada kejohanan Sukan Para Asia Jakarta 2018.
Atlet renang Selangor, Jordan Yip Zhu Ern pula menjadi penerima insentif tertinggi bagi atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan ganjaran berjumlah RM14,100, manakala atlet Tenpin Bowling Kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan pemain Sepak Takraw Kebangsaan Farhan Adam menerima insentif berjumlah RM8,000 setiap seorang.
Sebanyak RM929,200 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menghargai jasa atlet kelahiran negeri itu yang berjaya mempamerkan persembahan cemerlang dan memenangi pingat dalam tiga acara sukan terbesar, Sukan Asia Jakarta Palembang, Sukan Para Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Sukma Perak 2018 pada tahun lepas.
Majlis penyerahan insentif berkenaan disempurnakan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman. – Bernama

































