Atlet Paralimpik Afghanistan tiba di Tokyo

TOKYO, 29 OGOS – Dua orang atlet Afghanistan membuat ketibaan ‘penuh emosi’ di Perkampungan Paralimpik Tokyo, ketua sukan tersebut berkata hari ini, selepas penerbangan rahsia dari Paris berikutan pemindahan mereka dari Kabul.

Zakia Khudadadi dan Hossain Rasouli tiba di Jepun dan bersedia untuk bersaing di sukan tersebut, selepas meninggalkan Afghanistan yang kini dikuasai oleh Taliban pada hujung minggu lalu dalam ‘operasi global besar-besaran’.

“Kedua-dua atlet tersebut kini berada di Tokyo untuk memenuhi impian mereka, menghantar mesej penting mengenai harapan kepada ramai orang di seluruh dunia,” kata jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Craig Spence.

Khudadadi dan Rasouli dialu-alukan ke perkampungan atlet kelmarin oleh ketua IPC, Andrew Parsons dan pengerusi Majlis Atlet IPC, Chelsey Gotell, serta ketua pasukan Afghanistan, Arian Sadiqi.

“Seperti yang dapat anda bayangi, pertemuan tersebut sangat emosional,” kata Spence.

Zakia Khudadadi dan Hossain Rasouli semasa tiba di Tokyo untuk memenuhi impian mereka bersaing di acara sukan Paralimpik.- AFP

“Ramai yang melinangkan air mata di dalam bilik tersebut. Ia adalah satu pertemuan yang luar biasa.”

Kedua-dua atlet itu menghabiskan masa seminggu di Paris di pusat latihan kementerian sukan Perancis selepas dipindahkan dari Kabul.

Rasouli, seorang atlet pecut, dijadualkan bersaing di acara T47 100m Lelaki tetapi tiba terlalu lewat kelmarin.

Kini, dia akan menyertai acara lompat jauh T47 peringkat akhir pada Selasa, sementara Khudadadi akan bersaing dalam acara tekwando wanita K44-49kg pada Khamis.

Spence berkata kesihatan mental atlet dan kesejahteraan berkenaan adalah ‘keutamaan’ IPC.

“Kami akan membuat pemeriksaan setiap hari terhadap kesihatan mental mereka kerana seperti yang dapat kita bayangi bahawa situasi yang mereka lalui dalam tempoh beberapa hari kebelakangan adalah sesuatu yang serius,” katanya.- AFP