Atlet, pegawai terima suntikan pada April

PUTRAJAYA, 26 FEB – Seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April depan.

Ia merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkakan pada Mei ini, kesemua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos kedua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

“Kami mengharapkan sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 akan berjaya divaksin, maknanya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai (kejohanan) dan bebas COVID-19,” katanya.

Reezal Merican berkata meskipun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 untuk Sukan Olimpik Tokyo, pengambilannya dilihat mampu menjamin keselamatan serta tahap kesihatan atlet.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk menerima suntikan vaksin tersebut adalah bersifat sukarela.

“Pengambilan vaksin adalah secara sukarela, kami sediakan jika mereka (atlet) ingin di vaksinasi dan terdapat beberapa prosedur serta borang perlu diisi, tetapi seperti disebut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini percuma dan secara sukarela, bukannya wajib.” – Bernama