Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Atlet pelapis digesa lebih proaktif tingkat prestasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Para atlet yang menyertai Kem Sukan Atlet Berbakat diharap akan menjadi lebih bersemangat, berkeyakinan dan proaktif dalam mempertingkatkan lagi prestasi dalam sukan masing-masing dengan menjalani latihan secara berterusan dan menunjukkan disiplin yang baik untuk mencapai kecemerlangan yang akan mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.

    Harapan itu disuarakan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dalam ucapannya pada Majlis Penutup Kem Sukan Atlet Berbakat yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Daerah Temburong, hari ini.

    Beliau turut menyatakan harapan agar kem itu akan menjadi platform yang bermanfaat kepada atlet-atlet muda supaya dapat memberikan sumbangan positif kepada pembangunan sukan di negara ini.

    “Sehubungan itu, diharap kerjasama antara Jabatan Belia dan Sukan (JBS), OBBD serta agensi-agensi berkepentingan dalam sektor awam mahupun swasta akan dapat diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa dalam pembangunan dan kemajuan sukan,” ujarnya.

    Pengiran Mohammad Amirrizal juga berharap kem sukan berkenaan akan terus dijalankan setiap tahun dan bukan sahaja ditumpukan bagi atlet-atlet muda dan pembangunan akan tetapi kem seumpama itu juga perlu dilaratkan bagi atlet-atlet pelapis, kebangsaan dan atlet elit negara.

    Pengiran Mohammad Amirrizal dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Belia dan Sukan

    “Perisian program ini juga perlu diteliti dengan mengambil kira keperluan dan kehendak sukan masing-masing bagi mempersiapkan atlet bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental, rohani dan patriotisme,” tambahnya.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada setiap peserta program yang disempurnakan oleh Pengiran Mohammad Amirrizal.

    Kem yang diadakan selama empat hari bermula 5 Disember itu disertai oleh seramai 35 orang atlet pelapis di bawah skim latihan JBS.

    Peserta program terdiri daripada atlet pelapis bagi sukan bola jaring, catur, karate, lawan pedang, olahraga, pencak silat dan tekwando yang berpotensi, terbaik serta berbakat untuk menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang menarik dengan menerapkan konsep Melayu Islam Beraja.

    Program itu dilaksanakan oleh JBS melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan (UKPS), Bahagian Sukan dengan kerjasama OBBD, yang pertama kalinya diadakan.

    Ia merupakan langkah proaktif dalam merancang program bagi membimbing atlet-atlet Skim Latihan JBS yang dikenal pasti ke arah perkembangan pembangunan keperibadian mereka dan seterusnya cemerlang dalam bidang sukan.

    Program itu bermatlamat untuk memberikan peluang berkongsi pengalaman dan pengetahuan di samping mengumpulkan atlet-atlet pelapis skim JBS yang terbaik serta memberikan pendedahan yang berbentuk intensif dalam suasana kem sukan bagi meningkatkan jati diri dan sahsiah atlet.

    Ia juga bertujuan melahirkan atlet yang berwibawa dan berketerampilan baik serta membentuk kerjasama dalam satu pasukan dan seterusnya memupuk semangat patriotik di samping dapat meningkatkan tahap kecergasan dalam bidang sukan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...