Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Atlet Rusia, Belarus disingkir dari Paralimpik Beijing

    BEIJING, 3 MAC – Atlet Rusia dan Belarus dilarang daripada mengambil bahagian dalam Paralimpik Musim Sejuk Beijing disebabkan perang di Ukraine, dengan penganjur tunduk kepada tekanan antarabangsa dan ancaman pemulauan.

    Jawatankuasa Paralimpik Antara-bangsa (IPC) berkata sehari sebelumnya bahawa atlet dari kedua-dua negara itu akan dibenarkan bertanding sebagai ‘neutral’ dalam Sukan itu, yang bermula esok.

    Ia berkata larangan merupakan ‘hukuman paling keras’ yang dikenakan oleh IPC di bawah peraturannya.

    Namun penganjur menarik balik keputusan itu kurang 24 jam kemudian, bermakna 83 atlet dari Rusia dan Belarus, yang menghantar tentera untuk serangan Moscow, kini akan berkemas dan pulang.

    “Demi memelihara integriti Sukan berkenaan dan keselamatan kesemua peserta, kami telah memutuskan untuk menolak penyertaan atlet dari RPC dan NPC Belarus,” kata IPC dalam satu kenyataan.

    “Kepada atlet paralimpik dari negara yang terjejas, kami kesal kerana awda terjejas oleh keputusan yang diambil kerajaan awda pada minggu lalu dalam melanggar Perjanjian Olimpik. Awda adalah mangsa tindakan kerajaan awda,” beritahu presiden IPC, Andrew Parsons kepada wartawan.

    Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada awal minggu ini menggesa persekutuan sukan di seluruh dunia supaya menyingkirkan atlet dari kedua-dua negara berkenaan.

    Sementara itu, atlet dari Ukraine tiba di Beijing semalam selepas perjalanan yang sukar dan mencabar dari negara mereka yang telah berdepan serangan besar-besaran dari Rusia.

    Awal hari ini, anggota pasukan Ukraine sedang bersiap sedia untuk pertandingan – berkumpul di cerun untuk acara ski dan latihan menembak di Zhangjiakou. – AFP

    Valeriy Sushkevych, presiden Jawatankuasa Paralimpik Ukraine, bercakap semasa sidang media sebelum Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...