Atlet Sabah buat latihan di rumah

KOTA KINABALU, 25 MAC – Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe hari ini berkata latihan atlet Sabah masih diteruskan secara individu di rumah masing-masing dan telah diberikan senarai latihan oleh jurulatih sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata latihan berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan tahap fizikal dan kecergasan atlet masih di tahap yang baik walaupun berada di rumah sepanjang PKP.

“Sepanjang tempoh ini jurulatih juga boleh membantu atlet melalui ‘sidang video’ bagi memastikan atlet menjalankan latihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak menggalakkan penyertaan kejohanan atau latihan di luar negara apabila wabak COVID-19 mula menular pada Januari tahun ini.

“Semua latihan atau penyertaan kejohanan ke China adalah tidak dibenarkan. Pasukan yang telah menjalankan latihan atau penyertaan kejohanan di luar negara, telah dinasihatkan untuk mengasingkan diri  di rumah selama 14 hari. – Bernama