Atlet senior karate mengalami kecederaan

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Kecederaan yang dihadapi dua atlet senior diibaratkan sebagai tamparan besar buat skuad karate kebangsaan sebelum mereka menyertai beberapa pertandingan antarabangsa.

Ketua jurulatih karate negara Ali Reza Souleymani berkata pemenang pingat perak Sukan SEA 2019, Muhammad Arif Abdul Malik dan pemenang pingat emas Kejohanan Persekutuan Karate Asia (AKF) Bawah 21 Tahun, A. Somanroy masing-masing mengalami kecederaan lutut dan bahu, menyebabkan mereka tidak dapat bertanding selama kira-kira tujuh bulan.

“Pada masa ini, saya tidak dapat mengumpulkan kesemua atlet kerana hanya tiga atlet senior dan junior yang ada untuk latihan, selebihnya, kebanyakan atlet senior mengalami kecederaan.

“Oleh itu, saya perlu mencari atlet junior yang sesuai…untuk mewakili negara dalam kejohanan akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun terdapat beberapa pertandingan, Ali Reza berkata jumlahnya belum disahkan berikutan penularan COVID-19.

Antara pertandingan yang sepatutnya disertai skuad kebangsaan adalah Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara di Filipina dari 3 hingga 5 April dan Kejohanan AKF Senior di Bali, Indonesia pada 4 hingga 6 September.

“Rancangan saya adalah membawa skuad negara untuk latihan dan pertandingan antarabangsa di Iran dalam beberapa bulan akan datang, tetapi disebabkan kebimbangan terhadap COVID-19, saya tidak dapat beri jaminan bahawa kami akan teruskan dengan rancangan awal kami juga,” kata jurulatih dari Iran itu.

Tahun lepas merupakan tahun yang hebat buat skuad karate kebangsaan selepas muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA ke-30 di Filipina dengan merangkul masing-masing empat pingat emas dan perak selain turut meraih keputusan yang baik dalam beberapa pertandingan antarabangsa. – Bernama