Atlet tenpin boling Malaysia umum bersara

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Tiada penyesalan buat puteri tenpin boling Malaysia Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang memuktamadkan keputusannya meninggalkan skuad kebangsaan Malaysia selepas 11 tahun mengharumkan negara dalam sukan itu.

Bekas juara acara berpasukan wanita Kejohanan Dunia 2017 secara rasmi hari ini mengumumkan persaraannya pada satu sidang media di sebuah stesen televisyen berbayar, di sini.

Pemain boling berusia 29 tahun itu menghantar surat menarik diri daripada skuad kebangsaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Tenpin Boling Malaysia (MTBC) pada Selasa.

Katanya, keputusan berkenaan diambil kerana beliau mahu memberi fokus kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

“Keputusan ini adalah untuk menentukan hala tuju hidup saya. Saya tidak cakap sukan boling tidak ada masa depan kerana melalui sukan boling orang kenal saya, tapi cukuplah untuk setakat 11 tahun.

“Sudah tiba masa saya memikirkan mengenai karier yang lebih stabil. Di luar sana merupakan tempat yang lebih menjamin masa depan.” – Bernama