TURKIYE, 10 OGOS – Atlet Türkiye memulakan perlawanan dengan prestasi membanggakan pada saingan Sukan Solidariti Islam Kelima, yang membuka tirai kejohanannya, lapor Xinhua.
Alperen Karahan meraih pingat emas dalam acara lontar peluru lelaki dengan meraih catatan lontaran sejauh 20.46 meter dan Emel Dereli memenangi emas wanita dengan lontaran sejauh 17.25 meter.
Sementara itu, Necati Er menambah emas dalam acara lompat kijang lelaki dengan jarak 16.73 meter, manakala Yasemin Can meraih tempat pertama dalam acara 10,000m lelaki dengan catatan masa 32 minit 34.33 saat.
Birhanu Balew dari Bahrain menang acara 5,000m lelaki dengan catatan masa 13 minit 51.64 saat, manakala Ali Idow Hassan dari Somalia meraih emas dalam acara 800m lelaki dengan masa 1:49.04.
Sumeyye Boyaci turut menyumbang emas kepada Türkiye dalam acara renang para wanita S4-5 200 meter gaya bebas.
Seramai 4,200 atlet dari 55 negara dan wilayah bersaing dalam 24 acara di temasya itu, yang berlangsung sehingga 18 Ogos.
Antara negara-negara yang menyertai sukan tersebut terdiri daripada Afghanistan, Bahrain, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Iran, Kuwait, Qatar.
Sukan Solidariti Islam kali pertama dianjurkan di Arab Saudi pada 2005. – Bernama