Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Atlet veteran harumkan nama negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Semakin berusia semakin berbisa, begitulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada lima atlet veteran setelah berjaya menyahut cabaran dalam Kejohanan Olahraga Antarabangsa Masters Terbuka Johor–Singapura 2023 di Stadium Mount Austin, Johor Bahru, Johor, Malaysia, baru-baru ini.

    Kontinjen tersebut terdiri daripada Kapten (B) Haji Osman bin Lahab, Haji Ariffin bin Abdullah, Haji Abdul Rani bin Haji Matasan, Awang Marznimurney bin Abdullah, dan Dayang Husna binti Abdullah yang juga selaku pengurus pasukan tersebut.

    Kejohanan yang berlangsung dua hari itu telah menyaksikan atlet veteran negara kita membawa pulang 13 pingat emas, lima pingat perak dan satu gangsa.

    Kapten (B) Haji Osman di bawah kategori umur 80 hingga 84 telah memperolehi tiga pingat emas dalam acara berjalan kaki sejauh 200 meter, 3000 meter dan lompat jauh, serta satu pingat perak bagi acara berjalan kaki sejauh 100 meter.

    Sementara itu, tiga pingat emas turut dirangkul oleh Haji Ariffin bagi acara berjalan kaki sejauh 400 meter, 800 meter dan lompat kijang di bawah kategori umur 80 hingga 84. Beliau turut mendapat pingat perak dalam acara lompat jauh.

    Selain itu, Haji Abdul Rani di bawah kategori usia 75 hingga 79 pula membawa pulang dua pingat emas dalam acara lompat tinggi dan lompat jauh, serta satu pingat perak dalam acara lompat kijang.

    Manakala, di bawah kategori umur 60 hingga 65 tahun, Awang Marznimurney telah berjaya meraih dua pingat emas dalam acara berjalan kaki 800 meter dan 1500 meter, satu pingat perak dalam acara berjalan kaki sejauh 3000 meter dan satu pingat gangsa bagi acara berjalan kaki sejauh 400 meter.

    Seterusnya, Dayang Husna bagi kategori umur 55 hingga 59 tahun pula mendapat tiga pingat emas dalam acara berjalan kaki 800 meter, 1500 meter dan 2000 meter, diikuti dengan satu pingat perak bagi acara rejam lembing.

    Gambar ramai kontinjen Brunei Darussalam bersama pingat yang dimenangi mereka. – Gambar serahan peserta atlet veteran tanah air
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...