Atlet wanita Yaman promosi seni pertahankan diri di Sanaa

SANAA, 19 DIS – Dalam menepis segala kemungkinan, Seham Amer, seorang wanita Yaman berusia 24 tahun, cuba mengubah halangan jantina dan mempromosikan sukan tinju atau kickboxing dalam kalangan wanita dan gadis di Sanaa, ibu negara Yaman.

Seham Amer merupakan salah seorang atlet kickboxing wanita pertama di Yaman dan juga salah seorang perintis yang berdedikasi untuk melatih wanita dan gadis dalam seni mempertahankan diri, yang secara meluas dianggap sebagai sukan ‘maskulin’ di negaranya.

“Saya rasa gadis-gadis perlu belajar bagaimana untuk melindungi diri mereka, terutamanya pada masa-masa sukar semasa,” kata Amer, merujuk kepada perang saudara Yaman yang berterusan.

“Lebih-lebih lagi, seni mempertahankan diri dapat memupuk sahsiah diri dan meningkatkan keyakinan diri,” tambah Amer.

Dia mula belajar seni mempertahankan diri pada usianya enam tahun dan telah memenangi pelbagai pingat dalam kejohanan serantau atau antarabangsa.

Bagaimanapun, peperangan menangguhkan kerjayanya kerana sekatan selama bertahun-tahun memerangkapnya di ibu kota yang dikuasai Houthi dan menghalangnya daripada menyertai pertandingan di luar negara.

Seorang gadis Yaman belajar seni kickboxing di dalam sebuah gim di Sanaa, Yaman pada 12 Dis. – Xinhua

Atlet tinju Yaman, Seham Amer melatih gadis di dalam gim di Sanaa, Yaman pada 12 Dis. – Xinhua

“Tidak ada banyak pertandingan di Yaman, terutamanya untuk wanita,” kata Amer, sambil berkata “tetapi kemudian saya menyedari bahawa berlatih tinju bukan hanya untuk memenangi gelaran.”

Enggan ‘disingkirkan’, Amer menubuhkan gim di Sanaa pada tahun 2015 untuk para wanita dan kanak-kanak perempuan mempelajari tinju kickboxing dan seni mempertahankan diri yang lain.

“Ramai kanak-kanak perempuan berhenti berlatih pada usia 12 hingga 14 tahun kerana adalah ‘tidak wajar’ untuk mereka berlatih dengan lelaki selepas mereka mencapai usia tertentu,” katanya.

“Saya mahu melakukan sesuatu agar para gadis dan wanita dapat meneruskan latihan mereka,” kata bekas juara kickboxing itu.

Yaman sedang bergelut untuk merapatkan jurang jantinanya.

Menurut laporan Forum Jurang Jantina Global Ekonomi Dunia pada 2020, Yaman menduduki tempat terakhir daripada 153 negara dalam indeks jurang jantina.

Pada masa ini, kira-kira 100 gadis dan wanita mengambil bahagian dalam kursus latihan Amer tiga kali seminggu.

“Saya harap lebih ramai gadis dan wanita dapat menyertai kelas itu. Ia baik untuk kesihatan kita, dari segi fizikal dan mental. Lebih penting lagi, kita boleh belajar cara mempertahankan diri,” kata Olaa Ali, salah seorang pelajar.

Yaman telah terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014 apabila militia Houthi menguasai beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa keluar dari ibu kota Sanaa.

Gabungan Arab pimpinan Arab Saudi campur tangan dalam konflik Yaman pada Mac 2015 untuk menyokong kerajaan Hadi.

Peperangan itu telah membunuh berpuluh-puluh ribu rakyat Yaman, menyebabkan 4 juta orang kehilangan tempat tinggal dan mendorong Yaman ke ambang kebuluran. – Xinhua