HANOI, 13 MEI – Kem wushu Malaysia tampil cemerlang apabila mencipta kejutan merangkul dua pingat emas dan sebutir perak menerusi disiplin taolu pada hari pertama sukan itu dipertandingkan di Sukan SEA ke-31 kelmarin.
Lebih menceriakan apabila ketiga-tiga pemenang pingat itu, merupakan atlet yang beraksi buat kali pertama di temasya dwitahunan berkenaan, sekaligus memastikan sasaran sebutir perak dan sebutir gangsa skuad wushu Malaysia tercapai.
Kilauan emas pertama di Cau Giay Gymnasium di sini, hadir menerusi Clement Ting Su Wei, 24, pada acara changquan lelaki selepas beliau mencatatkan 9.70 mata.
Walaupun memperoleh mata yang sama dengan juara 2017 Lim Jowen Si Wei dari Singapura, selepas kedua-duanya berjaya melengkapkan persembahan tanpa kesilapan, Clement dinobatkan sebagai juara kerana gaya persembahannya lebih memikat barisan juri. Tan Zhi Yan kemudiannya mengungguli aca-ra taijiquan lelaki bagi menghadiahkan pingat emas ke-11 Malaysia.
Atlet berusia 22 tahun dari Batu Berendam, Melaka itu berjaya memukau para juri dengan gerakan mantap untuk meraih 9.71 mata, diikuti Jones Inso (9.70) dari Filipina dan Jun Kai Chan (9.57) dari Singapura.
Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong membawa pulang pingat perak acara nandao lelaki dengan 9.68 mata, manakala wakil tuan rumah Pham Quoc Khanh (9.70) dan Huu Nong Van (9.67) masing-masing meraih emas dan gangsa. – Bernama
