Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Atlet wusyu Brunei pulang bawa kejayaan

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Pasukan wusyu Brunei Darussalam hari ini kembali ke tanah air membawa kemenangan selepas berentap di pentas Sukan Dunia 2022 yang berlangsung baru-baru ini di Bill Battle Coliseum di Birmingham, Alabama, Amerika Syarikat (AS).

    Atlet wusyu negara, Basma Lachkar merangkul pingat emas dalam acara gabungan Taijiquan dan Taijijian wanita manakala Hosea Wong Zheng Yu membawa pulang pingat perak dalam acara gabungan Taijiquan dan Taijijian lelaki.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan kepulangan pasukan wusyu Brunei ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud serta ahli-ahli Persekutuan Wushu Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari kementerian.

    Semasa majlis tersebut, jurulatih wusyu negara, Li Hui menyatakan bahawa Pengiran Mohammad Amirrizal telah memuji pencapaian pasukan wusyu Brunei dalam Sukan Dunia 2022 dan berharap pasukan itu akan terus berjuang dan mengharumkan nama negara.

    Li Hui dalam pada itu juga memaklumkan pasukan wusyu kini merancang untuk menjalani latihan di China pada penghujung bulan ini bagi menajamkan lagi kemahiran atlet sebagai persediaan menghadapi pertandingan akan datang di Malaysia serta Sukan SEA pada tahun hadapan.

    Beliau menambah bahawa penca-paian yang diraih dalam Sukan Dunia 2022 adalah pencapaian tertinggi dan bersejarah buat sukan wusyu negara.

    Li Hui turut mengingatkan kepada semua atlet wusyu negara agar sentiasa bersemangat memburu impian mereka.

    Pengiran Mohammad Amirrizal dan pegawai-pegawai kementerian bergambar ramai bersama pasukan wusyu negara dan pegawai Persekutuan Wusyu Brunei Darussalam kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...