Atlet wusyu sumbang emas

Oleh Fadhil Yunus

MANILA, 2 DIS – Atlet wusyu Brunei Darussalam, Mohammad Adi Salihin bin Roslan meletakkan dirinya sebagai atlet hebat negara selepas dia meraih pingat emas dalam pertandingan Lelaki Nandao dan Nangun di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Pusat Dagangan Dunia di Pasay, Filipina semalam.

Berkenan berangkat menyaksikan acara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.

Dalam perlawanan tersebut atlet sensasi wusyu negara mengumpul sejumlah 9.64 mata di pusingan Nangun Lelaki untuk mengekalkan kedudukannya yang telah dicapai dalam pusingan Nandao Lelaki.

Adi Salihin memperoleh jumlah keseluruhan 19.28 mata untuk memenangi gelaran mengatasi Harris Horatius dari Indonesia yang meraih pingat perak dan Quoc Khanh Pham dari Vietnam membawa pulang pingat gangsa.

Bintang Brunei itu, memberikan pungutan pingat emas pertama buat negara sejak atlet wusyu Faustina Woo Sii Wai dan Lee Ying Shi menghadiahkan pingat emas dalam acara Duilian Wanita di Naypyitaw, Myanmar pada 2013.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, YAM Pengiran Bini Hajah Faizah dan YAM Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah ketika berkenan bergambar ramai bersama atlet negara pertama yang merangkul pingat emas, Mohammad Adi Salihin bin Roslan pada acara wusyu di Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila. – Gambar oleh Infofoto
Adi Salihin ketika menerima pingat semasa acara penyampaian pingat bagi acara wusyu. – Gambar oleh Infofoto

Sementara itu bintang yang meningkat naik Hosea Wong Zheng Yu memenangi pingat kedua buat dirinya untuk tahun ini di Sukan SEA selepas memperoleh pingat gangsa bagi acara Taijijian Lelaki.

Persembahannya memungut 9.60 mata ketinggalan di belakang pemenang pingat emas Malaysia, Loh Choon How yang mencatatkan 9.68 mata dan atlet dari Filipina, Jones Llabres Inso yang memenangi perak dengan 9.65 mata.

Jurulatih wusyu negara berkata, “Dengan acara gabungan Nandao dan Nanqun, kami berjaya memenangi pingat emas berharga buat Negara Brunei Darussalam.

“Ini merupakan pingat emas pertama sejak Sukan SEA 2013 Myanmar.”

Beliau menambah, “Kami telah bekerja keras sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya perjuangan kami berhasil. Para jurulatih dan atlet telah banyak berkorban untuk memperbaiki dan mencapai kejayaan ini.

“Ini kemenangan yang penuh dengan emosi bagi kami untuk mendapatkan pingat emas buat negara ini.”

Pasukan wusyu meraikan kegembiraan dua hari berturut-turut, setelah memungut dua pingat perak dalam acara Taijiquan Lelaki dan Taijiquan Wanita yang masing-masing dimenangi oleh Hosea Wong Zheng Yu dan Basma Lachkar.