Atletico dibelenggu masalah pertahanan menjelang UCL

MADRID, 23 FEB – Atletico Madrid telah lama dikenali memiliki pertahanan yang kental dan bolah diharapkan.

Tiada pasukan lain yang dibolosi dengan jaringan paling sedikit berbanding Atletico di Liga Sepanyol sejak Diego Simeone tiba di kelab tersebut pada 2011. Skuadnya telah mengetuai rekod liga sebagai paling sedikit dibolosi sebanyak enam kali dalam lapan musim terdahulu.

Tetapi menuju saingan Liga Juara-Juara pusingan 16 terakhir menentang Chelsea hari ini, pertahanan Atletico bergelut tidak seperti sebelumnya di bawah jurulatih dari Argentina tersebut.

Sebanyak 10 gol dibolosi dalam tujuh perlawanan terdahulu, angka paling teruk tanpa catatan gagal dibolosi sejak Simeone tiba.

“Memang benar kami dibolosi gol, tetapi apabila kami tidak dibolosi banyak gol, kami dipuji kerana pertahanan dan keseluruhan pasukan, dan kini semua pasukan telah memperbaiki diri dari segi pertahanan dan kami selaku pemain pertahanan dan juga keseluruhan skuad,” kata pemain pertahanan Atletico, Stefan Savic kelmarin.

Reaksi pemain Atletico Madrid, Renan Lodi semasa pertemuan menentang Levante di Wanda Metropolitano baru-baru ini. – AP

Masalah pertahanan telah menyebabkan Atletico hanya memenangi satu daripada empat perlawanan terakhir, secara tiba-tiba menerima ancaman kepada kedudukan mereka di La Liga.

Dibolosi pasukan Chelsea mungkin boleh memusnahkan peluang mereka kerana kelebihan gol di gelanggang lawan mampu memberi kelebihan di Liga Juara-Juara.

Kepincangan bahagian pertahanan adalah disebabkan oleh Savic dan Mario Hermoso diketepikan kerana kecederaan. Pemain lain turut diketepikan kerana koronavirus, termasuk Renan Lodi dan Kieran Trippier digantung kerana disiasat atas pertuduhan judi.

Ketiadaan pemain-pemain memaksa Simeone untuk menukar formasi daripada 4-4-2 kepada 3-5-2 baru-baru ini, dan keputusan tidak begitu memberangsangkan.

Simeone terpaksa menggunakan pemain tengah versatil Marcos Llorente untuk menutup ruang ditinggalkan oleh pemain yang diketepikan di bahagian pertahanan dan berkata dia mungkin bermain sebagai bek kanan hari ini. Pilihan lain ialah menggunakan pemain muda, Richard Sanchez di posisi tersebut. – AP