MADRID, 13 JAN – Atletico Madrid memperluaskan jurang kedudukan sebagai pendahulu La Liga dengan kelebihan empat mata selepas berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Sevilla semalam dalam misi memburu gelaran.
Kedua-dua jaringan pada setiap babak dijaringkan oleh Angel Correa dan pemain gantian, Saul Niguez dalam perlawanan yang dihujani salji tebal yang mana menyaksikan skuad bimbingan Diego Simeone semakin mengukuhkan kedudukan dengan pesaing terdekat, Real Madrid.
Perlawanan yang berlangsung di Wanda Metropolitano itu adalah salah satu daripada tiga baki perlawanan yang masih dimiliki Atletico berbanding Real dan Barcelona yang kini ketinggalan tiga mata dan menduduki di tangga ketiga liga.
Perlawanan di halaman sendiri menentang Athletic Bilbao pada hujung minggu lalu terpaksa ditunda setelah Madrid mengalami musim salji paling tebal dalam setengah abad.
“Saya sangat gembira membantu pasukan melakar kemenangan. Kerja keras kami membuahkan hasil,” kata Niguez selepas kemenangan itu.

Sementara itu, Sevilla kekal menduduki tempat keenam liga dengan mengumpul 30 mata sekali gus berkongsi jumlah mata dengan Real Sociedad yang menduduki tangga kelima.
Real di bawah bimbingan Zinedine Zidane berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kejuaraan La Liga jika melihat kepada aksi yang dipamerkan anak buah Simeone.
Kieran Trippier kembali beraksi untuk Atletico selepas FIFA mengenakan hukuman penggantungan selama 10 minggu ke atas pemain antarabangsa England itu kerana melanggar peraturan berjudi.
Pemain berusia 30 tahun itu kembali menjadi pemain penting apabila beliau membantu jaringan gol pembukaan Correa pada minit ke-17. Correa melakukan tendangan sebelum Fernando dapat mengatasinya dan usahanya berjaya melepasi Yassine Bounou.
Athletico berpeluang untuk terus memimpin di puncak liga dalam seminggu ketika mereka mengunjungi Eibar pada perlawanan seterusnya sementara Madrid dan Barca bermain di separuh akhir Piala Super Sepanyol minggu ini. – AFP