Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atletico mula era baru

    MADRID, 15 Sept – Atletico Madrid bakal memulakan era baru Sabtu ini apabila gelanggang baru bernilai 310 juta euro (AS$370 juta) dikenali Wanda Metropolitano membuka pintunya bagi menanti kunjungan Malaga dalam kempen La Liga.

    Skuad kendalian Diego Simeone terpaksa beraksi empat perlawanan musim ini di laman lawan ketika stadium berkapasiti 68,000 tempat duduk yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Vicente Calderon menjalani sentuhan terakhir.

    Kerja-kerja terakhir akan diteruskan di luar stadium berkenaan sepanjang musim dengan jalan masuk belum lagi siap, yang memaksa Atletico untuk melancarkan kempen pemasaran pada minggu ini untuk menggalakkan peminat untuk datang menggunakan pengangkutan awam.

    “Orang di kelab ini bimbang dengan suasananya yang baik dan segala-galanya berjalan dengan lancar namun kesempurnaan tidak pernah wujud,” kata Simeone yang membuktikan komitmennya dengan Atletico selepas memperbaharui kontrak sehingga 2020.

    “Ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum ia mula terbentuk. Apabila anda membina rumah, akan ada masalah dengan bilik air atau penyaman udara atau juga pemanas di mana anda memerlukan tukang paip atau berbalah dengan arkitek anda.

    “Untuk stadium sebesar ini, sudah tentu isu itu akan timbul namun ia cerita di luar padang.”

    Atletico masih belum tewas pada musim ini dan sepatutnya menang selesa ketika bertemu AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara jika tidak melepaskan beberapa peluang terhidang.

    Antoine Griezmann kembali dari penggantungan dua perlawanan domestik, sementara Atletico tidak berharap lawan yang lebih baik selain Malaga untuk berkunjung ke ibu negara Sepanyol, di mana Malaga masih belum mengutip sebarang mata daripada tiga perlawanan pembukaan dengan jurulatih Michel berjuang untuk mengekalkan kerjanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda