Atletico terus terajui La Liga

MADRID, 23 DIS – Atletico Madrid akan terus berada di puncak La Liga sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini selepas menewaskan Real Sociedad 2-0 untuk mendahului dengan kelebihan tiga mata.

Gol pada babak kedua Mario Hermoso dan Marcos Llorente menyaksikan pasukan bimbingan Diego Simeone menang mengatasi Sociedad yang memulakan perlawanan dengan kelebihan tiga mata namun kini ketinggalan enam mata untuk berada di tempat ketiga selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut liga.

Juara liga Real Madrid, kini di tangga kedua boleh menyamakan kedudukan bersama musuh mereka itu dengan kemenangan ke atas Granada hari ini.

Barcelona bagaimanapun kini 11 mata ketinggalan kepada Atletico dan berada di kedudukan keenam.

Perlawanan seterusnya, Real dan Barcelona akan mempunyai dua lagi perlawanan berbanding Atletico. Sociedad pula mempunyai tiga lagi perlawanan daripada pendahulu liga.

Kemenangan itu adalah yang ke-300 Simeone dalam liga sebagai jurulatih Atletico.

“Ia memberi makna yang besar, sangat besar,” kata pengendali Argentina itu.

“Saya datang ke sini dengan idea untuk membawa Atletico ke puncak permainan dan saya rasa ia tidak cukup dengan hanya berterima kasih kepada pemain dengan apa yang mereka berikan kepada saya,” katanya. – AFP

Pemain Atletico, Marcos LIorente meraikan jaringan bersama pasukannya semasa perlawanan menentang Real Sociedad di Stadium Anoeta, kelmarin. – AFP