ATM ke-25 setujui dua protokol

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin POKSS Dato Paduka Haji Mohammad Yusof telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-25 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersama rakan-rakan dialog ASEAN yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Hanoi, Vietnam.

Mesyuarat ATM ke-25 telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Tuan Yang Terutama Trinh Dinh Dung dan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Van The. Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi turut hadir selaku timbalan pengerusi ATM ke-25.

Menurut kenyataan Kemen-terian Pengangkutan dan Info-komunikasi (MTIC), antara perkara yang diketengahkan semasa mesyuarat tersebut adalah persetujuan ke atas cadangan untuk menghasilkan dokumen mengenai Prinsip Keselamatan Jalan Raya dalam tahun 2020, termasuk bagi menghasilkan video yang akan menampilkan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh negara-negara ahli ASEAN dalam meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya serta pengurangan kadar kemalangan jalan raya di rantau ini. Video tersebut akan dilancarkan semasa Mesyuarat ATM ke-26 pada tahun depan di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menyatakan, pencapaian utama dalam mesyuarat tersebut adalah penandatanganan dua dokumen penting iaitu Protokol untuk Melaksanakan Pakej ke-11 Komitmen Perkhidmatan Pengangkutan Udara di Bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan serta Protokol 3 mengenai Kebebasan Hak Trafik ke-5 antara pihak terlibat Perjanjian Pengangkutan Udara China ASEAN (AC-ATA).

Protokol untuk Melaksanakan Pakej ke-11 Komitmen Perkhidmatan Pengangkutan Udara di Bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bertujuan untuk menambah-baik tahap efisien, daya saing dan penyediaan perkhidmatan serta bagi memudahkan lagi perkhidmatan pengangkutan udara di antara negara-negara ahli ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bersama delegasi Negara Brunei Darussalam semasa mesyuarat berkenaan. – Gambar oleh MTIC

Protokol 3 pula bertujuan untuk memperluaskan lagi kesaling-hubungan perkhidmatan udara antara negara-negara Ahli ASEAN dan China di mana syarikat-syarikat penerbangan yang dikenal pasti dari negara-negara ASEAN akan diberikan hak pengangkutan untuk memberikan perkhidmatan di 36 buah destinasi di China.

Kenyataan menambah, menteri-menteri pengangkutan ASEAN juga mengadakan mesyuarat bersama rakan-rakan dialog China, Jepun dan Republik Korea bagi membincangkan dan seterusnya mengesahkan inisiatif bersama dalam meningkatkan kerjasama pengangkutan di antara ASEAN dan rakan-rakan dialog.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Nguyen Van The selaku pengerusi ATM ke-25.

Mesyuarat ATM ke-25 telah didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-48. Delegasi Brunei ke Mesyuarat STOM ke-48 diketuai oleh Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

ATM ke-25 diteruskan dengan penyerahan pengerusi kepada Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah dan pengerusi bagi Mesyuarat ATM ke-26 dan mesyuarat-mesyuarat bersama Rakan-rakan Dialog pada 2020.