Atu bantu urus jenazah percuma

Kira-kira dua tahun lalu, kunjungan pelawak Atu Zero, 29, ke Pulau Banggi, Kudat, Sabah sekadar menziarahi penduduk tempatan dalam misi dakwah diketuai Nazzri Abdul atau dipanggil Imam Nazzri.

Namun, dalam lawatan itu, Atu atau nama sebenar, Sharid Kunal Doli Sharif menyedari wujud kelemahan dalam sistem pengurusan jenazah di pulau berkenaan. Bertolak daripada itu, tercetus niat Atu dan kumpulan pengurusan jenazahnya, Pusat Tarbiyah Al Muhajirin, menawarkan khidmat secara percuma kepada penduduk setempat termasuk fakir miskin di Kudat.

“Kalau mahu diimbas semula, pada kunjungan pertama ke Pulau Banggi, saya hanya berniat mendedahkan penduduk tempatan mengenai Islam dan mengajar membaca al-Quran.

“Tetapi hendak dijadikan cerita, kami lihat kelemahan daripada segi pengurusan jenazah di pulau berkenaan yang dianggap antara kawasan terpencil di Sabah.

“Bapa saudara saya kemudian menasihatkan kami menawarkan khidmat pengurusan jenazah percuma sebagai saham akhirat,” katanya.

“Kali pertama, kami menguruskan kes di mana jenazah dibawa dari Hospital Kudat ke perkampungan itu dengan menaiki bot.

“Jadi, proses pengurusan bermula dari darat hingga lautan di mana jenazah dikebumikan di Pulau Banggi,” katanya.

Atu berkata, pada peringkat permulaan, dia dan pasukan pengurusan jenazah melakukan kerja pengurusan jenazah secara kecil-kecilan.

“Insya-Allah, perkara yang baik pasti dipermudahkan Tuhan. Bagaimanapun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, perkhidmatan itu dihentikan sementara,” katanya. – Agensi

Atu dan kumpulan pengurusan jenazah, Pusat Tarbiyah Al Muhajirin menawarkan khidmat secara percuma kepada penduduk fakir miskin di Kudat. – Agensi