KUCHING, 13 April – Isu-isu teras berkaitan keselamatan dan pembanterasan jenayah di sempadan menjadi antara agenda yang dibincangkan secara komprehensif dalam mesyuarat penyelarasan antara polis Sarawak dan Polis Kalimantan Barat ke-11 di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata perbincangan dua pihak itu diharap dapat menghasilkan satu keputusan yang jelas dan efisien sebagai panduan bersama dalam usaha mengekang aktiviti jenayah terutama di sempadan.
Beliau percaya ia akan dapat menghasilkan satu keputusan baik secara holistik dengan satu matlamat kesepakatan dan kerjasama dalam menyelesaikan pelbagai isu.
Katanya antara yang dibincangkan termasuk isu-isu berkaitan pendatang tanpa izin, pencerobohan, curi kenderaan serta samun merentas sempadan, kerosakan pagar di Pusat Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Tebedu/Entikong dan perkongsian maklumat.
“Diharapkan perkara-perkara ini dapat dibincangkan serta diperhalusi dengan lebih terperinci dan seterusnya dijadikan panduan bersama kedua-dua pihak,” katanya semasa berucap di majlis menandatangani Buku Perakuan Persepakatan Mesyuarat Koordinasi ke-11 di Mes Pegawai Ibu pejabat Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Mazlan yang mewakili polis Sarawak, menandatangani perakuan itu manakala polis Kalimantan Barat diwakili ketuanya (Kepala Polis Daerah Kalimantan Barat, atau Kapolda Kalbar) Drs Musyafak.
Bercakap kepada pemberita di luar majlis itu Mazlan berkata, usaha pembanterasan jenayah bukan sahaja berkisar kepada soal keselamatan semata-mata, namun ia turut merangkumi isu-isu berkaitan ekonomi kedua-dua negara.
Beliau berkata kerjasama kedua-dua pihak berkuasa ini diharap dapat menghantar isyarat jelas kepada penjenayah di kedua-dua negara, memberi amaran supaya melupakan hasrat melakukan jenayah sewenang-wenangnya di dua wilayah bersempadan ini.
Menurutnya pihak berkuasa di kedua-dua negara itu kini memiliki strategi dan perancangan yang disusun rapi dalam usaha membendung jenayah dengan lebih berkesan, terutama di sempadan. – Bernama