Aturan penutupan sementara pada Jumaat di bawah KHEDN

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Aturan penutupan sementara waktu premis perniagaan dan pejabat di negara ini antara 12 tengah hari hingga 2 petang pada setiap Jumaat iaitu sehingga selesai menunaikan sembahyang fardu Jumaat, merupakan di bawah kawalan lesen rampaian, jabatan bandaran atau jabatan daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskan lanjut, ia merupakan aturan di mana meskipun tidak menunaikan sembahyang Jumaat, para pekerja juga masih perlu menunaikan sembahyang fardu Zohor sama ada di rumah atau di tempat kerjanya.

Tiada sebarang kesalahan untuk meneruskan kebiasaan yang diaturkan semasa masjid dibuka seperti sebelumnya iaitu penutupan sementara antara 12 tengah hari ke 2 petang.

“Jika waktu kebiasaan yang diaturkan semasa masjid dibuka itu tidak diteruskan ia akan menyalahi aturan-aturan yang ditetapkan,” tambah beliau semasa mengulas persoalan mengenai sebilangan perusahaan dan syarikat yang beroperasi pada waktu sembahyang Jumaat ketika penutupan masjid, surau dan balai ibadat.