Auba selamatkan Gunners

BOURNEMOUTH, United Kingdom, 26 Nov – Pierre-Emerick Aubameyang melanjutkan rekod tanpa kalah Arsenal kepada 17 perlawanan dengan jaringan yang memastikan kemenangan 2-1 di Bournemouth semalam.

Pasukan kendalian Unai Emery itu mendahului menerusi jaringan sendiri Jefferson Lerma sebelum Josh King menyamakan kedudukan pada akhir separuh masa pertama di Dean Court.

Aubameyang menjaringkan gol kelapannya musim ini pada pertengahan separuh masa kedua untuk memastikan Gunners, yang berada di tangga kelima, menghampiri satu mata untuk melonjak ke tangga empat teratas dalam persaingan untuk kelayakan bagi Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan dari utara London itu semakin cergas sejak Emery menggantikan Arsene Wenger pada musim penamat dan ini adalah satu lagi ujian yang dilalui oleh pengurus dari Sepanyol itu.

Selepas tiga perlawanan yang berkesudahan seri menentang Liverpool, Sporting Lisbon dan Wolves, ia adalah penting buat Arsenal untuk mendapatkan kembali rentak kemenangannya.

Aubameyang meraikan gol kemenangan Arsenal ketika menentang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana di Stadium Vitality. – AP

Arsenal mendahului pada minit ke-30 apabila Lerma secara tidak sengaja melepaskan voli daripada hantaran lintang Sead Kolasinac yang menewaskan penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic, yang gagal untuk menghalang bola.

Cardiff adalah satu–satunya pasukan teratas yang berjaya bertahan bagi pendahuluan separuh masa pertama dalam liga musim ini dan penyudah dari King dengan sepakan terakhir pada 45 minit awal memastikan Bournemouth menyamakan kedudukan.

Apabila Aubameyang mensia-siakan peluang terbaik selepas menerima hantaran Henrikh Mkhitaryan, peminat-peminat Arsenal meminta bagi kemasukan Ozil. Tetapi penyokong yang membuat kunjungan ke pesisir selatan itu meraikan gol penyerang itu pada minit ke-67.

Aubameyang menebus sepakannya yang tersasar sebelumnya, menjaringkan gol dari jarak enam ela selepas satu lagi hantaran lintang dari Kolasinac.

Lerma hampir menebus jaringan sendirinya tetapi tendangannya terkena tiang gol dengan rembatan leret sebelum Leno terpaksa menolak bola ke tepi selepas ia menuju ke gawang pasukannya.

“Ia merupakan keputusan penting buat kami. Kami mengetahui betapa susahnya untuk mendapatkan kemenangan di laman ini,” kata Emery.

“Ia merupakan perlawanan ke-17 tanpa sebarang kekalahan, tetapi kami seri dalam tiga perlawanan terakhir kami.

“Kami tahu keputusan ini masih tidak mencukupi buat kami, buat objektif kami,” katanya. – AFP