Aubameyang ketuai kebangkitan Arsenal

NEWCASTLE, 3 MEI – Ketua pasukan Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang memberikan kelegaan buat pengurus Mikel Arteta selepas menjaringkan gol setelah kembali bersama pasukan menjelang perlawanan separuh akhir Liga Eropah menentang Villarreal.

Aubameyang hanya bermain lima minit sebagai pemain gantian semasa kekalahan pusingan pertama di tangan kelab Sepanyol selepas pulih dari malaria, tetapi dia bermain selama 77 minit dan menjaringkan gol kelmarin untuk menundukkan Newcastle 2-0 di Liga Perdana Inggeris bagi menandakan dia sudah bersedia untuk bermain di pusingan kedua.

“Kami menyangka dia tidak akan dapat melakukannya,” kata Arteta. “Pada Khamis, hari sebelumnya, dia sangat bergelut, sejujurnya, dia mungkin hanya bermain 10 atau 15 minit.

Tetapi hari demi hari, dia mula merasa baik dan sangat bagus untuk melihat apa yang dilakukannya hari ini. Dia bermain dengan baik dan menjaringkan go, jadi ia memberikan semangat.”

Walau bagaimanapun, kepuasan Arteta menyaksikan sumbangan ketua pasukannya diselubungi dengan berita kehilangan pemain pertahanan, David Luiz, yang terpaksa dikeluarkan di St James’ Park akibat kecederaan hamstring.

“Dia merasa sesuatu di bahagian hamstring, jadi ia bukan satu berita baik,” kata Arteta. “Dia melakukan perubahan ke bahagian pertahanan pasukan selama beberapa minggu kebelakangan selepas pembedahan lutut dan sangat malang sekali.”

Dengan Kieran Tierney dan Alexandre Lacazette masih belum memulakan latihan bersama rakan sepasukan selepas masing-masing mengalami kecederaan lutut dan hamstring dan besar kemungkinan tidak akan diturunkan pada Khamis, dan kehilangan Luiz akan memberikan lebih banyak masalah. Memenangi Liga Europa mungkin satu-satunya cara untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan Arsenal kini menghuni tangga kesembilan di Liga Perdana Inggeris. – AP

Aksi Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol semasa pertemuan menentang Newcastle United dan membantu Arsenal mencatat kemenangan 2-0. – AP