Audi e-tron extreme tawan legenda ‘Streif’

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Pada akhir Januari, Audi menghantar SUV elektrik sepenuhnya yang pertama ke satu lereng di mana para pelumba ski terbaik dunia mengejar kemenangan dalam Perlumbaan Hahnenkamm.

“Kami sudah membuktikan kesungguhan SUV elektrik tahun lepas dalam beberapa acara ekstrem Audi e-tron.

Dari Pikes Peak hingga ke dataran garam Namibia dan ujian voltan tinggi di Berlin, prototaip Audi e-tron mampu mengatasi cabaran hebat,” kata Ketua Produk dan Teknologi Komunikasi, Peter Oberndorfer.

“Dengan pemanduan sensasi ‘Mausefalle’ kami telah melonjakkan sempadan lebih jauh dan menunjukkan semua kemungkinan teknikal teknologi quattro dalam kereta elektrik.”

Dengan kecerunan 85 peratus, ‘Mausefalle’ adalah bahagian paling curam dalam laluan menurun ‘Streif’ yang terkenal di Kitzbuhel.

Audie e-tron yang dipasang kelengkapan khas sedang mendaki laluan ski legenda ‘Mausefalle’ di Kitzbuhel.

Untuk mendaki laluan ini, demonstrator teknologi Audi e-tron dilengkapi kuasa quattro khusus dengan dua motor elektrik pada gandar belakang dan satu motor elektrik pada gandar depan.

Dengan itu ia mencapai output keseluruhan sehingga 370kW dan 8,920 Nm tork roda bagi memastikan prestasi penuh pada kecerunan luar biasa. Audi juga mengubah suai perisian itu dengan menggerakkan dan menyalurkan tork bagi mengatasi beberapa keadaan di ‘Streif’.

Roda 19 inci dengan pancang yang dibangunkan khusus untuk pemanduan ini menyediakan cengkaman yang diperlukan pada laluan bersalji dan berais.

“Saya juga kagum dengan cara kereta ini merentasi laluan sukar walaupun menakluki kecerunan 85 peratus terdengar mustahil pada mulanya,” tambah juara dunia Rallycross dan juara DTM dua kali Mattias Ekstrom yang menganggap acara berkenaan menjadi salah satu pengalamannya yang paling luar biasa.

Audi bersama pengeluar minuman Austria Red Bull merupakan rakan kongsi kuat dalam projek ini. Kedua-dua syarikat itu merupakan rakan kongsi lama dalam Perlumbaan Hahnenkamm malah mereka juga merupakan rakan kongsi hebat untuk acara lasak itu.