BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Pembuat auto Jerman, Audi merancang untuk menghasilkan lapan model prestasi bagi pasaran AS dalam masa dua tahun akan datang di bawah satu jenama baru diperkenalkan dalam Pameran Auto Antarabangsa New York baru-baru ini.
Matlamatnya adalah untuk menggabungkan semua elemen perlumbaan—termasuklah sukan permotoran profesional dan produk yang dibuat khas untuk pelanggan runcit—di bawah satu jenama baru digelar Audi Sport.
Model-model Audi R dan RS akan diletakkan di bawah jenama Audi Sport bersama dengan alat-alat prestasi, perlumbaan untuk pelanggan, sukan permotoran profesional dan satu koleksi peralatan yang berkaitan seperti pakaian dan aksesori.
Model R8 V10 Spyder 2017, RS 5 Coupe dan TT RS 2018 semuanya akan diletakkan di bawah jenama Audi Sport. Model-model lain dalam portfolio Audi Sport ialah R8 dan RS7 dan juga RS 3 2017 dan 2018 yang akan dilancarkan pada musim panas tahun ini buat kali pertamanya di AS.

Pembuat auto itu turut memperkenalkan versi GT4 kereta perlumbaan R8 LMS—tambahan terbaru kepada program perlumbaan pelanggan Audi Sport—menjelang Pameran Auto Antarabangsa New York. Kereta lumba R8 LMS GT3 mula-mula diperkenalkan dalam 2009, diikuti dengan generasi kedua model ini dalam 2015 dan RS 3 LMS bagi kategori TCR dalam 2016.
“Audi adalah satu jenama dibina dalam kemajuan dan bagi kami, perlumbaan merupakan makmal di mana kebanyakan kemajuan telah dibuat,” kata Presiden Audi Amerika, Scott Keogh dalam satu kenyataan.
“Dengan pelancaran Audi Sport di AS, kami gembira menawarkan pelanggan kami lebih banyak produk yang dapat meraih keuntungan daripada pembangunan yang sama dan teknologi pertama digunakan dalam sukan permotoran.”