Audi Q3 baharu lebih sportif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Generasi kedua Audi Q3 yang lebih agresif dan sportif telah diperkenalkan kepada media pada sesi pratonton dan uji pandu yang dikendalikan oleh pengedar rasmi Audi tempatan, TCY Motors Sdn Bhd di Bangunan Little Soho, hari ini.

Sesi pratonton dan uji pandu tersebut telah dimulakan dengan taklimat mengenai beberapa ciri dan aspek teknikal Audi model Q3 yang disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran, John Tan diikuti dengan sesi uji pandu.

John menjelaskan, kereta SUV yang berorientasikan keluarga itu menandakan satu langkah ke hadapan dengan keluasan dan fleksibiliti serta teknologinya yang lebih baik, dan seperti model Audi terkini, ia mempunyai ciri-ciri kokpit digital dan paparan sentuhan MMI yang besar.

Ia direka lebih besar daripada model sebelumnya bagi meningkatkan lagi ruang untuk penumpang dan ruang kargo dengan sistem bantuan untuk membantu pemandu semasa meletakkan kereta di kawasan bandar dan perjalanan yang jauh, yang juga meningkatkan lagi keselesaan dibantu dengan suspensi yang diperbaiki.

Para pengamal media juga difahamkan mengenai ciri-ciri penting yang terdapat dalam Q3 antaranya, ‘driver-focused’ premium dengan lampu ambien, tempat duduk belakang yang boleh digelongsor (tidak didapati pada model pesaing), kotak telefon Audi untuk mengecas peranti tanpa wayar (Qi), port USB jenis A dan jenis C (yang pertama) dan pengesanan tayar longgar (daripada Audi A8).

Pakej penyimpanan dan bagasi yang ditambah untuk model Brunei, pakej pencahayaan yang lebih baik termasuk bantuan ‘high beam’ juga merupakan ciri-ciri menarik yang terdapat dalam Q3 dan model tersebut menawarkan lima warna baharu seperti model sebelumnya.

Audi Q3 baharu ini tampil lebih sportif dibandingkan dengan model terdahulu dengan jeriji Singleframe berbentuk oktagon dengan barnya yang menegak serta lubang ‘inlet’ udara yang besar.

‘Tailgate’ elektrik yang boleh dibuka dan ditutup dengan ge-rakan menendang, juga boleh didapati bagi model Brunei selain sistem kokpit maya yang mengetengahkan kelompok ‘cluster’ tolok digital 10.25 inci.

Buat masa ini, hanya model Q3 yang mempunyai enjin petrol, digabungkan dengan output pemacu roda hadapan 110 kW (150hp / 250Nm), boleh didapati di Brunei dan John Tan mengongsikan bahawa semua enjin adalah unit ‘direct injection’ empat silinder dengan ‘turbocharge’ yang kuat, halus dan efisien.

Model Audi Q3 baharu yang tampil lebih sportif telah diperkenalkan kepada kepada media pada sesi pratonton dan uji pandu di Bangunan Little Soho, kelmarin.