Audi rekod jualan memberangsangkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Penjualan secara global AUDI AG meningkat kepada 1,871,350 buah kereta pada 2016, 3.8 peratus lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya pada tahun 2015.

Jualan tersebut meningkat di semua rantau termasuk di Eropah, Amerika Utara dalam pertumbuhan pasaran Amerika Syarikat yang mendatar dan di Asia-Pasifik.

Permintaan juga menunjukkan peningkatan yang berturut-turut sejak tahun 2009. Berbanding dengan 949,729 pelanggan pada tahun 2009, syarikat itu telah mencapai kejayaan hampir dua kali ganda dalam pasaran sepanjang tempoh ini.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Jualan dan Pemasaran di AUDI AG, Dietmar Voggenreiter, tahun 2016 merupakan tahun yang lebih mencabar dengan beberapa halangan dalam kebanyakan pasaran utama.

“Kami berjaya menunjukkan kekuatan yang teguh terhadap perniagaan kami dengan pertumbuhan yang seimbang di seluruh dunia,” jelasnya.

“Maklum balas yang sangat baik untuk kereta terbaru kami menunjukkan bahawa inisiatif model dan teknologi telah membuahkan hasil. Tahun ini kami akan terus ke hadapan di dalam pembaharuan menyeluruh portfolio Audi dan terus melancarkan model terbaru dalam pasaran,” tambahnya.

Audi A4 baru-baru ini juga telah dilancarkan di pasaran luar negara pada 2016. Jualan global berkembang tahun ke tahun sebanyak 7.6 peratus kepada kira-kira 337,550 unit. Pengemaskinian kelas pertengahan rekaan Audi akan berterusan tahun ini di pasaran antarabangsa dengan pelancaran A5 Coupe baru.

Selain itu, 2017 juga akan menyaksikan pelancaran global A5 Sportback baru, di mana model itu juga akan dijual di Amerika Syarikat buat kali pertama.