Audi sediakan penyelesaian mapan di WEF

DAVOS, 22 JAN – Audi sekali lagi terus mendukung matlamat kemapanan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland tahun ini apabila menjadi penyedia kepada pilihan mobiliti premium mapan semasa sidang tersebut.

Jenama tersebut menjadi rakan kongsi mobiliti eksklusif kali ke-33 melalui penyediaan 90 peratus kereta elektrik. Model-model Audi yang ditampilkan dicas dengan elektrik hijau eksklusif, menggunakan kontena pengecasan mudah alih dibuat dengan bateri terpakai Audi e-tron yang dimajukan secara khsus bagi tujuan tersebut.

Audi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Brunei Darussalam, menjelaskan bahawa ia secara berterusan membangunkan penyelesaian pengecasan mesra alam.

Dengan berbuat demikian, syarikat mencipta model ekosistem mobiliti mapannya sendiri di Davos yang lazimnya bercuaca dingin. Menggunakan sekurang-kurangnya 100 model elektrik Audi bergabung dengan kontena perkapalan untuk pengecasan membolehkan syarikat itu mengoperasi sejumlah kereta neutral karbon di sidang besar itu.

Selain model dipacu elektrik sepenuhnya, Audi e-tron, Audi A8 sebagai model hibrid boleh sambung juga digunakan. Tiga kontena pengecasan setiap satunya dilengkapi dengan empat sistem bateri terpakai Audi e-tron yang boleh memberikan kapasiti pengecasan kira-kira 700 kilowatt di tiga terminal pengecasan, dengan setiap satunya memberikan output 150kilowatt dan kapasiti penstoran sekitar 1.0 megawatt.

Menurut Audi, WEF merupakan salah satu daripada banyak acara yang ditaja oleh Audi bagi penyelesaian pembangunan pengecasan elektrik mapannya. Ia juga menaja Piala Dunia Ski Alpine Hahnenkamm, Austria dan merancang lebih 20 lagi penajaan dalam tahun ini, contohnya Formula E di Rom dan banyak lagi.

Model Audi e-tron yang dicas di Davos bagi kegunaan persidangan WEF baru-baru ini.