Aura kesetiaan penduduk Tutong

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi, Pg Fairol RMF & Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

TUTONG, 19 Julai – Dengan barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong serta kehadiran ribuan rakyat dan penduduk Daerah Tutong, bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan mereka tetapi juga ketaatsetiaan bagi sama-sama memeriahkan serta menyaksikan dengan lebih dekat lagi acara Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun, hari ini.

Berangkat sama ke majlis yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan yang diikuti dengan laungan Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.

Awang Shamsul Bahrin dalam sembah alu-aluannya menyatakan, seluruh rakyat dan penduduk Daerah Tutong dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan di atas kurnia perkenan Baginda berangkat bercemar duli dan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk daerah ini. Sembahnya lagi, sesungguhnya keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke Daerah Tutong merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam serta kegembiraan terhadap seorang raja yang berjiwa rakyat, sangat prihatin dan sangat pemedulian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berjunjung ziarah bersama rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. Turut berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – Gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia; DYTM Pengiran Muda Mahkota; DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Pengiran Perdana Wazir dan DYTM Pengiran Digadong berkenan dijunjung bergambar ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk di Daerah Tutong.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung ke Majlis Santap.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memotong kek Hari Keputeraan.
DYTM Pengiran Perdana Wazir dan DYTM Pengiran Digadong berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli jawatankuasa dan penduduk dari Daerah Tutong.
Antara peserta yang terlibat dalam persembahan khas semasa keberangkatan Baginda Sultan ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara pagi diserikan dengan sebuah persembahan khas yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni dengan tema ‘Raja Unggul, Negara Gemilang’.

Persembahan khas itu merupakan gabungan peserta daripada para pegawai dan kakitangan kerajaan, belia-belia, penuntut-penuntut sekolah, wakil-wakil puak dan masyarakat Daerah Tutong, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, persatuan-persatuan, badan bukan kerajaan serta badan sukarela di Daerah Tutong seramai 272 orang.

Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di daerah itu jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain seterusnya menyembahkan sembah kehadapan majlis Baginda Sultan.

Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli serta beramah mesra bersama rakyat merupakan suatu tradisi murni yang dapat memberi peluang keemasan bagi mereka untuk menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang kepada pemimpin yang dikasihi serta ia merupakan acara yang amat dinanti-nantikan terutama bagi golongan warga emas serta penduduk di daerah itu.