Australia bekukan iklan Facebook

SYDNEY, 22 FEB – Jabatan Kesihatan Australia mengumumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan iklan dalam Facebook, susulan hubungan tegang yang kian memuncak antara syarikat media sosial gergasi itu dengan pihak kerajaan.

Langkah pembekuan itu diambil ketika Australia memulakan usaha mempromosi pelancaran program vaksinasi COVID-19 yang membabitkan peruntukan hampir AS$20 juta bagi tujuan penyebaran maklumat awam dan menepis berita palsu antivaksin. Menteri Kesihatan, Greg Hunt, semalam berkata jabatannya tetap akan membelanjakan peruntukan bagi mempromosikan kempen vaksinasi itu tetapi bukan dalam Facebook.

“Semua dana kami akan digunakan,” kata Hunt. “Kami akan terus memaparkan di saluran tertentu, kami tidak akan meningkatkannya.”

Australia terpalit dalam perselisihan sengit dengan Facebook mengenai undang-undang yang akan memaksa platform digital untuk membayar pampasan kepada syarikat media bagi kandungan dalam talian. Facebook membantah keras cadangan terbabit, malah menyekat secara maya semua berita Australia dalam platform media sosial itu, Khamis lalu.

Paparan oleh beberapa perkhidmatan kecemasan turut terjejas seketika akibat tindakan itu, sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai.

Undang-undang itu dijangka dimuktamadkan di parlimen, minggu ini, dan Facebook dipercayai masih berunding dengan syarikat media Australia serta kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian pada saat-saat terakhir. – AFP

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg memberi keterangan di Capitol Hill di Washington. Jabatan Kesihatan Australia mengumumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan iklan dalam Facebook, susulan hubungan tegang yang kian memuncak antara syarikat media sosial gergasi itu. – AP