Australia cabar rancangan UNESCO

BRISBANE, 22 JUN – Kerajaan Australia menentang keras rancangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mahu menyenaraikan terumbu karang terbesar di dunia atau Terumbu Sawar Besar sebagai ‘dalam bahaya’.

Badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengeluarkan draf laporan semalam, yang mengesyorkan status warisan dunia itu diturunkan kerana terumbu karang itu mengalami kemerosotan yang dramatik akibat fenomena perubahan iklim global.

Menteri Alam Sekitar Australia, Sussan Ley berkata negara itu akan mencabar rancangan menjelang sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia yang dianjurkan oleh China bulan depan.

Ley berkata keputusan itu dibuat tanpa menimbangkan berbilion-bilion dolar yang dibelanjakan untuk melindungi terumbu karang terbesar di dunia.

“Ini memberikan isyarat buruk kepada negara yang tidak melakukan pelaburan dalam perlindungan terumbu seperti yang dilalukan oleh kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Gugusan terumbu karang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1981 itu memainkan peranan ekosistem amat penting dalam menyokong kelangsungan biodiversiti marin.

Ia dianggap tunjang kepada kehidupan sejagat mengambil kira komposisinya yang mengandungi lebih 2,900 batu karang dan kira-kira 900 pulau yang terbentang sepanjang 2,600 kilometer dengan keluasan permukaan sekitar 344,400km persegi. – AFP

Gambar dari udara menunjukkan Terumbu Sawar Besar di Australia. Australia berkata ia akan mencabar cadangan UNESCO untuk mengeluarkan Terumbu Sawar Besar daripada senarai warisan dunia. – AP