Australia capai lebihan belanjawan

CANBERRA, 17 Dis – Data baharu mendedahkan bahawa kerajaan Australia berada di landasan yang betul untuk mencapai lebihan belanjawan yang pertama dalam tempoh sedekad.

Menurut unjuran Ekonomi dan Fiskal Pertengahan Tahun yang dikeluarkan oleh Bendahari Josh Frydenberg (gambar bawah) pada Isnin, kerajaan akan mencapai lebihan belanjawan sebanyak Aus$4.1 bilion dalam bajet 2019-20 berbanding Aus$5.2 bilion defisit pada 2018-19.

Pencapaian berkenaan diperoleh selepas kerajaan menerima lebihan Aus$8.3 bilion daripada jangkaan dalam enam bulan pertama tahun kewangan 2019 sebahagian besarnya adalah hasil daripada peningkatan penerimaan cukai.

“Ekonomi Australia terus lancar,” kata Frydenberg kepada pemberita pada Isnin.

“Dalam tempoh empat tahun akan datang, anggaran lebihan dagangan terkumpul hampir dua kali ganda berbanding tahun ini.

“Kombinasi ekonomi yang semakin meningkat dengan jumlah rekod orang yang bekerja membantu meningkatkan pendapatan dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan.”

Frydenberg dan Perdana Menteri Scott Morrison, yang sebelum ini berkhidmat sebagai bendahari akan membentangkan belanjawan itu pada April 2019, lebih awal dari tarikh biasa pada bulan Mei, menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada Mei.

MYEFO menjangka bahawa eksport akan meningkat dua peratus pada 2018-19 dan 3.5 peratus pada 2019-20, sekali gus mengimbangi penurunan 10 peratus dalam eksport luar bandar disebabkan kemarau panjang.

“Buku kerajaan Australia adalah yang terbaik dalam satu dekad,” kata Frydenberg.

“Kemas kini hari ini memperlihatkan ekonomi Australia berada di landasan yang betul dan memberikan kita harapan untuk melihat ke depan.”

Bukan semua berita positif, dengan kertas MYEFO memberi amaran bahawa pasaran perumahan yang jatuh dapat mengganggu unjurannya.

“Pada sisi negatif, pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lemah, keadaan kredit yang lebih ketara daripada jangkaan dan penurunan harga perumahan boleh menyebabkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan kediaman lemah berbanding ramalan,” katanya. – Xinhua