Australia catat kematian pertama COVID-19

SYDNEY, 1 MAC – Australia hari ini telah mengesahkan negara itu mencatat kes kematian pertama akibat COVID-19, kata ketua pegawai kesihatan Andrew Robertson lapor agensi berita Anadolu.

Lelaki berusia 78 tahun itu dijangkiti virus tersebut ketika berada dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth. Isterinya juga disahkan dijangkiti penyakit itu tetapi keadaannya dilaporkan stabil. Australia membawa pulang 164 rakyatnya yang merupakan penumpang kapal persiaran itu, sembilan didapati positif dan telah dikuarantin.

Mereka serta-merta dipindahkan ke unit isolasi di hospital Perth pada 21 Februari sementara yang lainnya dikuarantin dalam kem bekas pelombong dekat bandar utara Darwin.

Sehingga kini terdapat 26 kes di Australia setelah pihak berkuasa kesihatan di negeri New South Wales mengesahkan seorang dalam usia 40an yang membuat perjalanan dari Iran telah didiagnosis penyakit tersebut.

Beliau menjadi warga Australia kedua yang dijangkiti di Iran. – Bernama/AFP