Australia cipta rekod sempurna di pusingan kelayakan

DOHA, 8 SEPT – Australia berjaya menundukkan Vietnam 1-0 semalam untuk menjadi negara pertama AFC untuk mencatat 10 kemenangan berturut-turut dalam kelayakan Piala Dunia sementara Jepun berjaya menewaskan China dengan jaringan yang sama untuk kembali bangkit selepas dikejutkan oleh Oman minggu lalu.

Kemenangan Australia, hasil jaringan kemenangan daripada Rhyan Grant pada separuh masa pertama, membawa The Socceroos mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam Kumpulan B.

Bermain tanpa kehadiran peminat di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi disebabkan oleh sekatan COVID-19, Australia bergelut untuk memecah kubu pertahanan Vietnam sebelum tandukan Grant pada minit ke-43 hasil hantaran lintang dari Ajdin Hrustic berjaya memecah kebuntuan.

Gol tersebut merupakan jaringan sulung Grant di peringkat antarabangsa dan menamatkan rekod 17 perlawanan tanpa kalah Vietnam di laman sendiri.

Sebelum ini, Australia mudah mengalahkan China 3-0 di Doha minggu lalu dan kemenangan semalam bermakna mereka mempunyai rekod sempurna 10 kemenangan daripada 10 perlawanan sejak pusingan pertama kelayakan bermula.

Sementara itu, Jepun turut mengutip mata penuh dalam pertemuan menentang China semalam dan membangkitkan semula kempen mereka setelah dijinakkan 1-0 di tangan Oman dalam perlawanan pertama pusingan terakhir kelayakan. Meskipun hanya mencatat kemenangan tipis, Jepun jelas mendominasi perlawanan dalam pertemuan di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

Percubaan yang dilakukan oleh Yuya Osaka dan Takefusa Kubo sekadar singgah terkena gawang pada separuh masa pertama namun tuah pasukan China berakhir pada minit ke-40. Junya Ito menghasilkan hantaran menarik selepas melepaskan diri daripada kawalan Wang Shenchao dan Osaka menebus kesilapannya terlepas peluang sebelum ini dengan membuat rembatan voli melepasi gawang China. – AFP

Aksi Rhyan Grant membuat percubaan melepasi penjaga gawang dalam pertemuan kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, semalam. – AFP