Australia dibelenggu kecederaan di Piala Davis

ADELAIDE, 5 MAC – Dengan beberapa pemain terkemuka tenis Australia sedang dibelenggu kecederaan, harapan kini diletakkan atas bahu Jordan Thompson dan John Millman untuk beraksi bagi kelayakan Piala Davis.

Thompson akan menjadi pemain Australia pertama beraksi dalam kejohanan perseorangan menentang pemain dari Brazil bermula esok di gelanggang yang baharu diubahsuai di Memorial Drive.

Thompson yang berada di kedudukan ke-63 dunia bakal berdepan Thiago Monteiro diikuti dengan perlawanan Millman bertemu Thiago Seyboth Wild.

Minggu lalu, Alex de Minaur dan Nick Kyrgios terpaksa menarik diri dari skuad Australia. Kyrgios mengalami kecederaan di pergelangan tangan kirinya yang memaksa dia keluar dari kejohanan di Mexico baru-baru ini.

De Minaur telah mengalami kecederaan teruk di bahagian perutnya yang mengetepikan beliau untuk beraksi dari kejohanan Terbuka Australia bulan lalu.

Pada Sabtu, perlawanan beregu akan menampilkan pasangan Australia, James Duckworth dan John Peers menentang Marcelo Demoliner dan Felipe Meligeni Rodrigues Alves.

Millman telah tewas kepada Roger Federer dalam pusingan ketiga di Terbuka Australia dalam perlawanan lima set, termasuk skor 10-8 dalam keputusan akhir tiebreaker.

Pemenang hujung minggu ini di kejohanan Adelaide akan layak mara ke perlawanan akhir Piala Davis pada November ini di Sepanyol. – AP

Nick Kyrgios dari Australia menyesuaikan gelang pergelangan tangannya ketika perlawanan menentang Ugo Humbert dari Perancis pada pusingan pertama kejohanan tenis Mexico Terbuka di Acapulco, Mexico, baru-baru ini. – AP