Australia gantung perjalanan bebas kuarantin dari NZ

WELLINGTON, 25 JAN – Australia hari ini menggantung perjalanan bebas kuarantin kepada warga New Zealand untuk tempoh 72 jam setelah varian COVID-19 Afrika Selatan dikesan di New Zealand, lapor agensi Anadolu.

Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Jawatankuasa Utama Perlindungan Kesihatan Australia “bagi mengurangkan risiko varian ini menjangkiti komuniti Australia, yang telah terbukti lebih mudah tersebar antara individu.”

Ujian genomik menunjukkan seorang wanita berusia 56 tahun dari wilayah Northland di utara New Zealand dijangkiti varian COVID-19 Afrika Selatan.

Kerajaan Australia berkata semua pelancong yang tiba dari New Zealand dalam tempoh 72 jam akan datang perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel.

“Semua penumpang dari New Zealand dengan penerbangan zon perjalanan selamat hijau yang dijadualkan dalam 72 jam seterusnya disyorkan menimbang semula keperluan melakukan perjalanan,” kata Hunt.

Sementara itu, Air New Zealand mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di semua penerbangan keluar dan masuk dari negara ini.

Sebelum ini, penumpang perlu memakai penutup mulut dan hidung untuk perjalanan domestik dan beberapa penerbangan antarabangsa.

“Ketika ini, pelanggan yang mengikuti penerbangan domestik, serta antara Australia, Rarotonga, Samoa, Korea Selatan dan Tonga dikenakan syarat memakai pelitup muka oleh kerajaan tempatan,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Australia setakat ini melaporkan 28,777 kes COVID-19 dengan 909 kematian. – Bernama