Australia guna Remdesivir rawat virus

SYDNEY, AUSTRALIA, 10 JULAI– Australia telah meluluskan penggunaan ubat anti-viral Remdesivir untuk rawatan COVID-19 hari ini selepas Suruhanjaya Eropah membuat keputusan sedemikian.

Ini adalah ubat pertama yang diluluskan oleh pihak berkuasa Australia untuk merawat virus tersebut dan berjanji akan mengurangkan tempoh keberadaan pesakit koronavirus di hospital, kata Pentadbiran Barangan Terapi Australia (TGA) dalam satu kenyataan.

“Dengan mengurangkan masa pemulihan, pesakit akan dapat meninggalkan hospital lebih awal, memberikan ruang katil untuk pesakit yang lebih memerlukan,” kata TGA.

Ubat itu diberikan persetujuan sementara untuk orang dewasa dan pesakit remaja dan akan terhad kepada mereka yang tidak sihat akibat virus, memerlukan bantuan untuk bernafas dan dalam rawatan di hospital, kata pihak berkuasa.

“Walaupun ini merupakan tonggak utama dalam perjuangan Australia melawan pandemik, apa yang dapat dirumuskan adalah bahawa produk tersebut belum terbukti dapat mencegah jangkitan koronavirus atau melegakan kes jangkitan yang lebih ringan.”

Keputusan itu diambil setelah pihak eksekutif EU memberikan kebenaran untuk penggunaan ubat itu – yang pada awalnya bertujuan sebagai rawatan untuk Ebola, sementara Washington membeli hampir semua bekalan. – AFP