Sunday, December 1, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia henti basmi parasit pembunuh lebah

    SYDNEY, 20 SEPT – Australia hari ini telah menghentikan usaha untuk membasmi kutu Varroa yang merosakkan, sejenis parasit invasif yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan populasi lebah madu di seluruh dunia.

    Dalam usahanya untuk menghalang Varroa masuk ke negara itu, pihak berkuasa telah memusnahkan lebih 14,000 sarang lebah yang terjejas sejak perosak kecil berwarna merah coklat itu pertama kali dikesan di utara Sydney pada Jun 2022.

    Kerajaan hari ini mengakui bahawa rancangan pembasmian bernilai AS$64 juta tidak dapat menghalang penyebaran kutu Varroa, sambil berkata penternak lebah negara itu kini perlu bersedia untuk hidup dengan pencerobohan itu.

    “Peningkatan bilangan dalam pengesanan baharu baru-baru ini telah menunjukkan bahawa serangan kutu Varroa adalah lebih meluas dan juga telah wujud lebih lama daripada yang pertama kali dijangkakan,” kata pegawai dalam satu kenyataan.

    Australia adalah salah satu negara penternakan lebah utama terakhir yang berjaya mengekang Varroa.

    Lebih kecil daripada biji lada, kutu Varroa melekat pada lebah madu dan perlahan-lahan memakan tisu badan haiwan itu dari luar – akhirnya merebak melalui sarang dan menyebabkan kemusnahan koloni.

    Ia adalah ‘serangga perosak paling serius bagi lebah madu di seluruh dunia’, menurut kerajaan Australia.

    Pakar ekologi Universiti Kebangsaan Australia, Saul Cunningham berkata serangan Varroa juga akan merosakkan industri pertanian yang bergantung kepada pendebungaan.

    “Kutu Varroa akan menyebabkan kerosakan ekonomi yang ketara dalam pertanian, dan oleh itu adalah penting bagi kita memberi tumpuan kepada penyesuaian untuk hidup dengan Varroa,” kata Cunningham. – AFP

    Gambar The Canberra Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda