Australia isytihar darurat kebakaran

SYDNEY, 11 NOV – Kerajaan Australia hari ini mengisytiharkan darurat selama seminggu di Sydney berikutan bandaraya terbesar negara itu berdepan ancaman baharu kebakaran hutan.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian terpaksa mengisytiharkan darurat selama tujuh hari berikutan suhu tinggi dan angin kencang dijangka memburukkan keadaan esok.

Buat pertama kali, Sydney dan kawasan sekitarnya berdepan amaran tertinggi kebakaran, menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran nyawa serta rumah berisiko besar.

Kebakaran teruk di utara Sydney sejak minggu lalu menyebabkan tiga orang terbunuh dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal manakala 150 kediaman musnah.

Di kawasan New South Wales utara, kebakaran hutan memusnahkan sembilan rumah hari ini di negeri Queensland, di mana kualiti udara merosot di Brisbane, ibu negeri dan bandar sekitarnya.

Keadaan dilaporkan pulih hari ini dan segelintir penduduk kembali ke kediaman mereka, biarpun jerebu di banyak kawasan terjejas.

Namun, angin dan suhu dijangka memuncak esok.

Rantau Blue Mountain di barat Sydney dan Hunter Valley dijangka paling teruk terjejas. – AFP

Anggota bomba memadamkan api kecil di Old Bar, 350km dari utara Sydney pada 11 November. Australia kelmarin mengisytiharkan darurat selama seminggu di Sydney. – AFP