Australia jamin masa depan koala

SYDNEY, 7 Mei – Australia hari ini mengumumkan pelan berjumlah AS$34 juta untuk membantu meningkatkan jumlah beruang koala daripada pupus, ekoran kemerosotan pesat dalam nasib binatang marsupial tersebut.

Yayasan Koala Australia menganggarkan mungkin terdapat 43,000 beruang koala yang tinggal di hutan, merosot daripada satu jumlah yang dipercayai lebih daripada 10 juta sebelum penempatan Eropah di benua itu pada tahun 1788.

“Beruang koala adalah harta negara,” kata Gladys Berejiklian, perdana menteri negeri New South Wales ketika mengumumkan pelan pemuliharaan kerajaannya.

“Adalah memalukan sekiranya haiwan marsupial yang ikonik ini tidak terjamin masa depannya.”

Kehilangan habitat, serangan anjing, perlanggaran kereta, perubahan iklim dan penyakit telah memberikan kesan yang hebat ke atas salah satu haiwan yang paling diiktiraf di Australia.

Gambar fail pada 28 April 2016 menunjukkan seekor beruang koala yang kehilangan satu mata selepas dilanggar oleh sebuah kereta, di tempatkan di Hospital Kaola di Port Macqurie. – AFP

Kajian menunjukkan kemerosotan sebanyak 26 peratus dalam jumlah beruang koala di New South Wales dalam tempoh 15-20 tahun. Negeri itu menyenaraikan spesies berkenaan sebagai ‘mudah terancam,’ sementara di kawasan lain negara binatang itu sudah pupus.

Di bawah pelan bernilai AUS$45 juta, beribu-ribu hektar tanah akan diperuntukkan untuk memelihara habitat semula jadi haiwan marsupial itu.

Wang akan digunakan untuk mengatasi penyakit yang menjangkiti beruang koala, termasuk Chlamydia, yang menyebabkan kebutaan, kemandulan dan kematian dalam spesies.

Wang tunai juga telah diperuntukkan untuk penyelidikan, peningkatan kawasan yang mudah terdedah kepada kemalangan dan hospital baru untuk menjaga beruang koala yang sakit dan cedera. Satu talian penting juga akan ditubuhkan untuk melaporkan beruang koala yang menghadapi masalah.

Tindakan tersebut menyusuli satu laporan bebas pada akhir tahun 2016 yang mencadangkan satu strategi yang lebih jelas untuk mengatasi kemerosotan jumlah beruang koala. – AFP