Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Australia keluarkan amaran banjir

    CANBERRA, AUSTRALIA, 13 OKT – Amaran banjir telah dikeluarkan, manakala ratusan buah rumah juga sudah dikosongkan dengan ribuan penduduk hilang bekalan elektrik dan seorang lelaki dilaporkan hilang sewaktu hujan lebat melanda tenggara Australia hari ini.

    Sungai merentasi negeri paling padat di Australia iaitu di New South Wales (NSW) dan Victoria, serta negeri pulau Tasmania dikesan meningkat ke tahap berbahaya dengan kawasan tadahan mula melimpah selepas hujan melebihi purata biasa.

    Sekitar 250 buah rumah di bandar NSW, Forbes dan barat Sydney diarah mengosongkan rumah mereka menjelang malam ini, susulan risiko banjir besar.

    Perkhidmatan Kecemasan Negeri pula mengeluarkan arahan supaya 17 jalan termasuk di pusat bandar dilencongkan pada jam 8 malam dengan paras air Sungai Lachlan dijangka mencapai puncak banjir besar setinggi 10.6 meter menjelang esok.

    Polis juga berkata, seorang lelaki berusia 63 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada Selasa di kawasan luar bandar di Sungai Lachlan berhampiran bandar NSW di Hillston, di barat Sydney.

    Dia dilaporkan hilang beberapa jam kemudian tetapi kru kecemasan masih gagal menemui sebarang tanda di mana dia berada.

    Polis pada Selasa turut menemui mayat seorang lelaki berusia 46 tahun di dalam keretanya yang ditenggelami air berhampiran bandar Bathurst, barat Sydney.

    Di selatan di Victoria, kru kecemasan menyelamatkan sekitar 23 orang yang memandu meredah banjir di kawasan luar bandar selepas hujan lebat semalaman.

    Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews, menggesa orang ramai supaya tidak memandu atau berjalan meredah air. – AP

    Kereta meredah jalan banjir di Heathcote di Victoria, Australia pada 13 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...