Australia labur AS$1.6 bilion dalam perjanjian telekomunikasi

CANBERRA, AUSTRALIA, 25 OKT – Syarikat telekomunikasi Australia, Telstra telah bekerjasama dengan kerajaan Australia dalam perjanjian bernilai AS$1.6 bilion untuk membeli operasi Digicel di Pasifik Selatan dalam satu perjanjian yang akan menghalang bahagian penting infrastruktur telekomunikasi rantau itu jatuh ke tangan China.

Telstra, syarikat telekomunikasi terbesar negara itu berkata dalam satu kenyataan hari ini ia akan menyumbangkan sejumlah AS$270 juta kepada perjanjian itu dan memegang 100 peratus ekuiti dalam Digicel Pacific.

Syarat penjualan telah dipersetujui dan akan disiapkan dalam masa enam bulan, kata ketua eksekutif Telstra, Andrew Penn.

“Digicel Pacific adalah aset menarik secara komersial dan penting kepada telekomunikasi di rantau itu,” kata Penn.

Digicel dimiliki oleh ahli perniagaan Ireland, Denis O’Brien, ditubuhkan di Bermuda dan beribu pejabat di Jamaica.

Ia beroperasi dalam 33 pasaran di negara membangun seluruh dunia. – AP