Australia lanjutkan sekatan bagi kapal persiaran

SYDNEY, 22 MEI – Australia hari ini mengumumkan ia akan melanjutkan larangan kepada hampir semua kapal persiaran antarabangsa selama tiga bulan sehingga pertengahan September ini.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut pengecualian yang diharapkan bagi perjalanan ke negara jirannya, New Zealand.

Larangan itu membabitkan mana-mana kapal persiaran yang mampu membawa lebih daripada 100 penumpang, kata Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam satu kenyataan.

Pelanjutan larangan ini bagaikan satu tamparan kepada industri pelayaran mewah yang sebelum ini turut berdepan sekatan daripada negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Seychelles.

Kali pertama Australia mengumumkan larangan berkenaan pada 27 Mac lalu apabila kira-kira 20 kapal berada dalam kawasan perairannya.

Beratus-ratus warga Australia yang turun dari kapal berkenaan kemudiannya disahkan positif COVID-19.

Lebih 20 kematian daripada jumlah keseluruhan angka korban di negara itu yang kini mencecah 101 orang berpunca daripada penumpang kapal persiaran.

Kebanyakan kes positif dan kematian ini berkaitan dengan kapal persiaran Ruby Princess yang tiba di Sydney pada akhir Mac lalu. – AFP